Umat Islam kini berdepan dengan krisis yang maha dahsyat, di mana pemerintahan dunia ketika ini disusun dengan bukan berpandukan panduan rabbani, kekuasaan dunia kini tidak berada pada keadaan yang sepatutnya, pada tangan yang sepatutnya, dan dengan cara yang sepatutnya.
Kegemilangan umat Islam suatu ketika dahulu kini menjadi sejarah yang agung, yang sering dibicarakan segenap pihak, yang ingin melihat Islam kembali gemilang, kerana meyakini bahawa sejarah pasti berulang. Mereka meyakini bahawa umat ini akan musnah, sekiranya golongan yang jahat lebih banyak bilangannya daripada golongan yang baik, seperti yang mereka fahami daripada cara berfikir Umar R.A apabila ditanya kepada beliau ;
أتهلك القرى وهي عامرة ؟
قال: إذا علا فجارها على أبرارها
Adakah suatu kampung itu akan hancur apabila mereka sudah makmur ?
Beliau berkata : Apabila golongan yang jahat lebih banyak daripada golongan yang baik
Pemahaman daripada fiqh Umar R.A ini membawa umat untuk menuju suatu perubahan yang total. Proses dakwah yang dijalankan oleh umat Islam kini bertumpu untuk meramaikan manusia yang soleh dan kembali kepada Allah S.W.T, untuk selamat daripada azab Allah S.W.T.
Pembacaku sekalian
Harakah-harakah dakwah pada masa kini, rata-ratanya menyeru ke arah Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka menyeru masyarakat untuk kembali kepada ajaran Al-Quran dan menjadikan kedua-dua asas hukum itu sebagai cara hidup. Para pendakwah bertungkus-lumus dan berpenat-lelah untuk mencapai hasrat perjuangan mereka, sambil diselangi dengan panduan kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu, para sahabat dan tabi’ien untuk dijadikan ikutan dan qudwah. Mereka merasakan kebahagiaan mereka adalah dakwah, segalanya.
Perjuangan itu akhirnya menjadikan mereka insan yang terbaik, seperti yang disebut dalam Al-Quran ;
ومن أحسن قولا ممن دعا إلى الله وعمل صالحا وقال إنني من المسلمين
Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengatakan aku dari kalangan orang muslimin
- Surah Fussilat : 33
Pendakwah pada hari ini perlu lebih optimis dalam berjuang. Mereka berjuang siang dan malam, menuju ke arah Rabbnya, dengan jalan yang dilalui oleh para anbiya’. Perjuangan mereka mulia, kerana jalan ini dilalui oleh para anbiya’ dan salafussoleh terdahulu.
Tetapi satu hakikat yang tidak dapat tidak untuk diterima, tidak semua orang akan menerima dakwah, walaupun pendakwah berjuang sepenuh upaya dan daya, pasti ada yang akan menolak. Ini boleh dikatakan sebagai suatu krisis yang tabie, apabila pendakwah berdepan dengan golongan yang menolak dakwah yang ingin disampaikan kepada mereka.
Fikirkan sejenak, ketika nabi Nuh A.S berdakwah kepada kaumnya, mereka menutup telinga dan menyelubungi muka mereka dengan baju (tanda seolah-olah tak mahu lihat langsung). Apa yang dilakukan oleh Nuh A.S pada malam-malamnya, tidak lain hanyalah bermunajat dan merayu meminta Allah S.W.T menolongnya dalam perjuangan, seperti yang dikisahkan oleh Allah S.W.T dalam surah Nuh.
Tatkala Ibrahim A.S ingin dihumban ke dalam api, apakah kalimah terakhir yang diucapkannya ? Tidak lain hanyalah ;
حسبي الله ونعم الوكيل
‘Cukuplah Allah bagiku, dan Dia-lah sebaik-baik pelindung’
Apabila seorang yang soleh daripada keluarga Firaun yang telah menyembunyikan imannya, menyeru kepada kaumnya agar mengikut ajaran yang dibawah oleh Musa A.S, seperti yang disebutkan dalam surah Ghafir ayat 28-46, pada penghujung seruannya, beliau berkata,
فستذكرون ما أقول لكم وأفوض أمري إلى الله
“Maka nanti kamu pasti akan ingat apa yang aku katakan ini, dan aku menyerahkan segala urusanku ini kepada Allah”
Dalam surah At-Taubah, ayat yang terakhir pula, Allah menyebut kepada kekasih-Nya S.A.W ;
فإن تولوا فقل حسبي الله لا إله إلا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم
“Sekiranya mereka berpaling (daripada seruanmu wahai Muhammad) maka katakanlah ‘Cukuplah Allah bagiku, kepada-Nyalah aku bertawakkal dan Dialah Tuhan arasy Yang Agung”
Bayangkan betapa sedihnya nabi S.A.W ketika orang musyrikin tidak menyahut seruan baginda S.A.W, sehingga digambarkan dalam surah Al-Kahfi ;
فلعلك باخع نفسك على آثارهم إن لم يؤمنوا بهذا الحديث أسفا
“Boleh jadi engkau (wahai Muhammad) akan membinasakan dirimu kerana bersedih hati, kerana mereka tidak beriman dengan risalah ini”
Ayat-ayat yang diturunkan kepada baginda S.A.W seolah-olah belaian Allah S.W.T kepada kekasih-Nya, setelah baginda S.A.W merasa sangat dukacita, sehingga disifatkan boleh jadi membinasakan dirinya sendiri. Tetapi Allah mendatangkan suatu formula yang telah digunapakai oleh para anbiya’ terdahulu, yang telah dipraktik oleh mereka, menjadi petua tetap teguh di atas jalan dakwah yang agung ini. Apa yang dilalui dalam sunnah dakwah ini adalah serupa dan berputar, mereka bersedih dengan gaya masing-masing, ujian masing-masing, musuh masing-masing, tetapi mereka mempunyai satu kesamaan yang pasti, iaitu mereka menyerahkan segalanya kepada Allah S.W.T.
Formula ini menjadi suatu petua bagi muslim yang optimis dalam dakwah. Mereka merasakan segalanya hanyalah untuk-Nya, dari-Nya, kerana-Nya, dan dalam hikmah-Nya yang tidak terbatas. Tiadalah selain Allah dalam hati mereka. Hatinya disirami dengan nilai-nilai keikhlasan dan kemurnian, langsung tidak mengharapkan ganjaran daripada manusia, kerana hati mereka ada Allah, Sang Pencipta sekalian alam, yang mempunyai segala-galanya.
Jiwa Merdeka
Formula ini akhirnya membentuk seorang muslim yang merdeka, tidak kenal henti dan penat lelah walaupun kalah dalam pertarungan dengan ahli batil, hasil ikhlas dan tawakkalnya kepada Tuhannya. Mari kita teliti sebuah kisah pendakwah di Yaman, yang tidak popular, namanya Az-Zubairi, seorang hakim. Beliau mula bergiat dalam perjuangan mengislah masyarakat Yaman pada ketika itu, sebelum jatuh kepada tangan mereka yang bertaqlid dengan pemimpin-pemimpin revolusi Barat.
Tetapi kehendak Allah itu mengatasi segalanya, beliau dan sahabat-sahabatnya terpaksa berhijrah dari satu negeri ke negeri yang lain, sebagai pelarian politik. Walaupun usaha beliau gagal, beliau berbangga dengan kemerdekaan itu dengan ungkapan syairnya ;
خذوا عني دنياكم واتركوا فؤادي حرا وحيدا غريبا
فإني أعظمكم دولة وإن خلتموني طريدا سليبا
‘Ambillah dariku duniaku dan tinggalkanlah hatiku
Dalam keadaan bebas dan biarlah aku keseorangan berkelana
Sesungguhnya kerajaan aku lebih besar darimu
Sekalipun kamu melihatku bagai seorang pengembara yang berkelana’
Suatu ungkapan yang cukup untuk menyedarkan para du’at di jalan Allah agar menjadikan hati-hati mereka terpaut hanya pada Allah, sebagai seorang hamba-Nya yang merdeka tidak terikat dengan dunia. Kesedaran dan keimanan yang cukup membezakan dirinya dengan manusia yang terumbang ambing dengan fitnah dunia, dirinya jelas, tidak kabur, tegas dalam menentukan yang hak dan yang batil.
Kesimpulan
Muslim pada masa kini kurang optimis dengan apa yang dilaluinya, dan kurang mengaitkan perjuangan mereka dengan perjuangan orang-orang sebelumnya. Mereka tidak lain hanyalah ibarat mengganti pemandu keretapi yang sangat panjang dan telah lama bergerak, mereka tidak perlu mencari-cari petua-petua baru untuk teruskan perjalanan yang jauh, sebaliknya cukuplah dengan petua-petua orang lama, yang asasi, yang telah menjamin pergerakan kafilah ini semenjak beribu tahun lamanya.
Kajian sejarah orang-orang yang telah pergi cukup menakjubkan. Terdapat dalamnya lombong fiqh dakwah yang sangat luas. Daie yang ingin menjadi seperti mereka hendaklah mengetahui apakah rahsia-rahsia mereka dan cara-cara mereka dalam beramal. Mereka tidak hanya mengharapkan diri mereka sahaja untuk memikirkan idea-idea baru yang baik, tetapi panduan dan taujihat daripada orang-orang terdahulu sebagai satu ‘kit’ untuk mereka beramal, dan mewariskan perjuangan ini.
Wallahua’lam.
Ana memetik petikan ini agar kita semua dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada petikan ini..Ana berharap semua umat Islam dapat segera memperbaiki amal mereka dia samping mengukuhkan lagi keimanan dalam diri bagi mengembalikan semula kekuatan ummah seperti yg dikecapi pada suatu masa dahulu...Wassalam